Friday, August 29, 2014

TATKALA MUSUH MENJADI SINAR HARAPAN..


Pengislaman Mongol begitu jelas memberikan sinar yang baru buat Islam yang telah menderita dengan kekejaman bangsa Tatar itu tatkala diganyang secukupnya ketika dijajah.

Siapa sangka?? 

Kezaliman dan penindasan yang dilakukan terhadap umat Islam saat mereka dijajah akhirnya menghasilkan suatu cahaya hidayah daripada Allah buat hati para tentera buas Mongol.

Ibnu Kathir menyebutkan bahawa Ghazan, cicit kepada Genghiz Khan mengisytiharkan pengislamannya bersama dengan orang Tatar di bawah pemerintahannya, hasil usaha gigih seorang pendakwah Turki yang cukup berhikmah, Amir Tuzaun.

Sebelum pengislamannya, Ghazan telah dibesarkan sebagai seorang Buddha dan telah membina beberapa buah kuil Buddha di Khurasan. Dia begitu gembira tatkala melihat ramai pendeta Buddha memasuki Iran sejak penguasaan Mongol ke atas negara itu.

Ghazan seorang yang sangat minat kepada agama dan telah mempelajari pelbagai ajaran agama pada zamannya, serta sentiasa berbincang dengan setiap ahli-ahli agama.

Rashiduddin, menterinya yang ‘alim dan pakar sejarah pada zamannya memperakui keikhlasan Ghazan mmeluk Islam. Dia begitu konsisten menunaikan amalan Islam sepanjang pemerintahannya, walaupun sesetengah orang menggambarkan pengislamannya adalah disebabkan desakan beberapa orang pemimpin yang lain.

Setelah memeluk Islam, Raja Ghazan menamakan dirinya Mahmud dan pergi menunaikan solat fardhu Jumaat. Dia juga mengurniakan ketulan mutiara, emas dan perak kepada rakyatnya yang turut sama memeluk agama Islam.

Beberapa kuil, berhala dan gereja orang Kristian diruntuhkan. Jizyah dikenakan kepada mereka. Harta benda rampasan dari Baghdad dan kota-kota Islam yang diserang sebelum ini dipulangkan. Syiar keadilan didaulatkan. Biji-biji tasbih kelihatan sentiasa bergerak-gerak di tangan kaum Tatar. Semangat mendalami dan mengamalkan gaya hidup Islam menjadi suatu suasana baru yang tidak tergambar di fikiran umat Islam kala itu. Subhanallah!

Benarlah sabda Nabi Muhammad SAW yang driwayatkan oleh Abi Hurairah r.a;

وإن الله ليؤيد هذا الدين بالرجل الفاجر

“ Dan sesungguhnya Allah membantu agama ini (Islam) dengan lelaki yang penuh dengan dosa dan kejahatan,”

Pengajaran:

1. Usah mudah melaknat dan mengeji sesebuah kelompok manusia, hanya kerana kejahatan yang dilakukannya. Tetapi yang dikeji itu sepatutnya perbuatan, bukan individu.

2. Cahaya petunjuk dan hidayah adalah milik Allah semata-mata. Sedangkan, Nabi Muhammad SAW sendiri pun tidak mampu untuk memberi hidayah kepada manusia, apatah lagi umat manusia yang penuh dengan dosa.

3. Usaha dan gerak kerja dakwah perlu sentiasa berterusan, tanpa memilih bulu, walau ketika itu Islam dipijak dan dihina dengan seganyangnya.

4. Manusia tidak akan tahu bagaimana pengakhiran hidupnya. Justeru, usah menghukum manusia dengan pelbagai label serta “mengambil alih kerja Tuhan” melalui akal kita yang cetek. Ada orang sentiasa melakukan kebaikan dan ibadah, tetapi akhirnya mati dalam kekufuran dan kemaksiatan. Ada juga orang yang hidupnya diselubungi kejahatan dan kemaksiatan, tetapi akhirnya dicabut nyawa dalam keadaan sudah bertaubat dan taat beribadat.